Monday, January 31, 2011

Bawa rakyat Malaysia pulang!

1. Protes yang berlaku di Mesir disertai oleh ratusan ribu orang melibatkan beberapa buah kota besar negara tersebut. Keadaan semakin tidak menentu, keselamatan orang awam tidak lagi terjamin. Lebih membimbangkan adanya laporan bahawa wujudnya kumpulan samseng yang melakukan jenayah sewenang-wenangnya.

2. Rakyat Malaysia yang kini tinggal di Mesir hampir mencecah 11 ribu orang, 10,328 dari jumlah tersebut merupakan pelajar yang mendaftar dengan kedutaan Malaysia di sana. 

3. Talian telefon mudah alih dan internet terutamanya jaringan media sosial seumpama Facebook dan Twitter telah disekat oleh rejim Hosni Mubarak kerana dikhuatiri berita mengenai rusuhan tersebar luas. Keadaan ini menyukarkan Kedutaan Malaysia untuk mengawasi dan menghubungi rakyat Malaysia sama ada mereka selamat atau tidak.

4. Beberapa buah lapangan terbang juga telah dibakar oleh perusuh dan ada laporan yang mengatakan bahawa harga tiket kapal terbang meningkat sehingga 7 kali ganda. Keadaan ini menyukarkan pelajar Malaysia untuk pulang kerana faktor kewangan.

5. Kementerian kita harus didesak untuk bawa pulang pelajar dan rakyat Malaysia ke Malaysia semula. 11,000 rakyat malaysia berada di mesir kini. Memang Kementerian beritahu tiada keperluan tetapi eloklah bawa pulang semula kerana ahli-ahli keluarga mereka di sini risau akan keadaan yang berlaku.

6. Adalah tidak munasabah membiarkan rakyat kita terdedah kepada bahaya dan tersepit di celah-celah keributan perusuh.

7. Jangan terlalu fikirkan wang rakyat akan habis jika bawa rakyat Malaysia pulang ke Malaysia. Pelajar Malaysia di sana juga rakyat dan mereka memang sewajarnya layak untuk menikmati wang tersebut.

8. Wang rakyat sememangnya digunakan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat. Pelajar Malaysia di Mesir tu rakyat makanya tiada erti pembaziran jika bawa mereka pulang demi keselamatan mereka.

9. Rakyat Malaysia menggesa kerajaan segera membawa pulang rakyat kita di sana. Jangan tunggu sehingga nasi menjadi bubur.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...